SALAM NUZUL QURAN 1444H


....السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Muhammad hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Muhammad ketika baginda sedang beribadah di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Pengertian Nuzul Al-Quran

Dari segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama Ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.

Peringkat Penurunan Al-Quran 

Al-Quran diturunkan sebanyak tiga peringkat :

Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz;

Kali kedua, dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia; dan

Kali ketiga, dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah s.a.w. (dalam masa 20 malam).

Kesimpulannya 

Jadikan bacaan al-Quran sebagai satu amalan kerana orang yang selalu membaca al-Quran juga diharapkan beroleh kedudukan yang mulia di sisi ALLAH SWT selain pertolongan di hari kiamat. Ini seperti mana sabda Nabi SAW bermaksud,
"Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya" 
(Hadis Riwayat Muslimin).

Previous Post Next Post