NISFU SYAABAN 1444H

Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Pengertian am Nisfu Syaaban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda  dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri".

 Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf dan nahi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”

Hari malam Nisfu Syaaban adalah bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib)

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.

Amalan-amalan Sunnah di Malam Nisfu Syaaban

Ada enam amalan sunnah yang dianjurkan di malam Nisfu Syaaban :-

1. Memperbanyakkan doa sejak terbenam matahari.

2. Memperbanyakkan membaca istighfar.

3. Memperbanyakkan bacaan Syahadah.

4. Setelah solat Maghrib dianjurkan membaca surah yasin sebanyak tiga kali dengan niat meminta keberkahan umur, harta, kesehatan, dan ketetapan iman.

5. Melakukan solat sunnah malam, seperti solat tahajjud, hajat, dan witir.

6. Berpuasa di hari Nisfu Sya’ban.

Semoga beroleh keberkatan di bulan Syaaban dan mendapat Rahmat Allah SWT.

Previous Post Next Post