SELAMAT DATANG BULAN REJAB 1444H

Assalamualaikum...

Selamat Datang Bulan Rejab...1444H/2023M

Rejab merupakan bulan ke-7 di dalam kalendar Takwim Hijrah. Dalam bulan Rejab pula, berlaku peristiwa penting iaitu Isra' Mikraj yang dalam peristiwa tersebut Rasulullah SAW telah menerima kefarduan solat lima waktu terus dari Allah di Sidratul Muntaha. Sebelum itu, pada malam yang sama, baginda Rasulullah SAW telah diisra'kan dari Masjid al-Haram di Makkah  (Arab Saudi) ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis (Palestin) dengan  menunggang Buraq.

Bulan ini juga merupakan bulan-bulan permulaan kepada bulan Ramadhan, yang berikutan selepasnya bulan Syaaban.

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia dan ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya. Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان).

Amalan Sunat Bulan Rejab

Menurut perkongsian daripada laman rasmi Mufti WP, bulan Rejab tidak memiliki kelebihan yang khusus seperti amal ibadat tertentu. Ini selaras dengan hadith-hadith sahih.

Meskipun begitu, ini tidak menjadi penghalang bagi seseorang untuk mengerjakan amal ibadah dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan yang dilaksanakan mempunyai kelebihan yang tertentu.

Selain membanyakkan berdoa, kita sebagai umat Islam juga sangat digalakkan untuk menghiasi bulan Rejab dengan ibadah seperti puasa, solat sunat dan berzikir.

Bersempena memasuki bulan Rejab yang mulia ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita terutamanya menjaga solat lima waktu dan solat-solat sunat.

Semoga Allah menerima segala ibadah kita serta memberikan taufiq dan hidayah-Nya. Aamiin Ya Rabbal ‘ Alamin





Previous Post Next Post